Penampilan Neelofa Yang Baru 2013
NEELOFA
NEELOFA bingkas menerjah yang dirinya tidak langsung memasang azam saat dilontar persoalan ‘klise’ itu. Tambahnya, biar 2013 mula berjalan, dia bimbang jika meletakkan sebarang sasaran, kerana mungkin akan mengundang kecewa sekiranya tidak tercapai.
“Saya hanya mengharapkan yang terbaik dan semoga 2013 yang menjadi tahun ketiga saya sebagai anak seni memberikan lebih kebahagiaan dan rezeki,” katanya tersenyum.
Menghiasi wajah pertama Rap, pembuka lembaran tahun ini, pelakon yang juga pengacara jelita berusia 23 tahun ini tidak henti-henti mengucap syukur kerana apa yang pernah diimpikan dalam hati kini semuanya terlaksana.
Imaginasi dan angan-angan gadis putih gebu kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini perlahan-lahan direalisasikan. Titik tolaknya selepas menjuarai Dewi Remaja dua tahun lalu, pantas nama dan pesona wajahnya tidak henti-henti mewarnai pentas seni tempatan.
Mahu atau tidak, hakikatnya, anak kacukan Melayu, Pakistan dan Arab juga pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor yang mesra disapa Lofa ini paling laris dan sensasi sepanjang 2012.
Bagai merampas serta-merta daripada ramai pemiliknya sebelum ini, dua tahun berdiri sebagai anak seni sejak awal pembabitannya dalam filem Azura, Lofa tidak sekali-kali lekang terpalit kisah sensasi.
Meskipun jelasnya tidak pernah dirancang, jauh sekali berasa bangga, itulah harga yang perlu dibayar menjadi selebriti iaitu hak milik masyarakat dan terdedah kepada apa saja persepsi dan andaian.
“Kelakar juga apabila ramai rakan media mula menghubungi saya bertanyakan soalan yang sama, kononnya saya paling ‘panas’ tahun lalu. Saya sendiri tidak pasti mereka (wartawan) melihat dari sudut apa dalam mengukur populariti dan nilai sensasi seseorang artis.
“Itulah realitinya kerana saya tidak punya suara untuk menafikannya kerana apa yang orang cakap mengenai diri saya. Segala macam kisah, gosip dan berita itu adalah perkara yang tidak pernah dirancang berlaku pada saya,” katanya mengakui tidak kira buruk atau baik publisiti yang diberi, ia masih dianggap satu publisiti.
Jelasnya lagi: “Seperti yang saya katakan apa saja spekulasi dan kontroversi itu bukanlah kehendak saya, sebaliknya ia digembar-gemburkan pihak lain. Pening dan penat usah diceritakan kerana tidak henti-henti rasanya saya dihujani gosip namun alhamdulillah, semuanya saya redah dengan sempurna.
“Ikhlasnya, saya melihat semua itu dari perspektif positif yang mana selagi nama saya disebut dan kisah membabitkan saya diberi perhatian, masih ada orang yang ingat kerana jika sudah diketepikan, ia lebih menakutkan saya.
“Sebagai pendatang baru, saya bersyukur kerana adanya keluarga dan teman-teman yang tidak henti-henti menyokong selain memberi kepercayaan kepada saya. Itulah rahsia kekuatan dan resipi semangat yang saya amalkan,” katanya yang bakal bergelar graduan jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran dari Universiti Kolej Sunway.
Kronologinya, pelakon filem S.A.M, Hantu Kapcai dan drama siri Tahajud Cinta dan Kau Yang Terindah ini mula mencetuskan pentas hiburan dengan kisah ‘merampas’ cinta pelakon lebih senior daripadanya.
Lebih yakin, Lofa ketika itu belum lagi muncul dengan filem sulungnya, Azura namun nama gadis bijak ini sudah hangat diperkatakan.
“Lofa itu perampas dan suka sangat buat kontroversi! Belum pun lagi membuktikan apa-apa, spekulasi jauh lebih heboh!”
Laungan sebegitu tidak lagi mengundang air mata. Sebaliknya jelas Lofa: “Saya sudah lali dan tidak lagi meratap walaupun pernah dulu terbit rasa kecewa dan patah semangat.”
Apa yang penting jelas Lofa, produk dan kerja itu perlu diletakkan ke depan agar ia menjadi penimbang atas persepsi serong mereka yang gemar menjatuhkan hukuman.
“Walaupun saya tidak pernah bebas daripada gosip, tawaran dan kerja saya tidak pernah berhenti. Ada saja wajah dan kerja saya di kaca televisyen. Itulah yang dikatakan hadiah atas kerja keras saya selama ini,” katanya berseloroh, 2013 akan lebih mendidih.
Trivia gosip Lofa
Mulanya pada 2011 Lofa dikatakan merampas aktor Shahz Jaszle daripada Maria Farida selepas hampir setahun menjalin kasih.
Konflik dengan aktres Nur Fazura yang dikatakan bermula dengan hubungan seorang kerabat diraja juga berlanjutan dari tahun lalu hingga adegan sindir menyindir dalam laman sosial twitter.
April 2012 pula, Lofa dikatakan mempersoalkan kemenangan Tasha Shilla pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 selepas tewas dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.
Tidak lama selepas itu, Lofa terbabit pula dengan salah faham bersama salah seorang finalis Dewi Remaja juga pelakon, Anzalna Nasir. Bukan saja mendapat liputan meluas media, malah perselisihan faham itu berlanjutan hingga kes saman menyaman dan sesi mohon maaf terbuka.
Lofa sekali lagi dikatakan tidak profesional apabila enggan bersalaman dengan Anzalna dan tidak mahu bergambar bersama.
Menegur kru produksi Nona yang lambat lebih sejam menerusi twitter dan sekali lagi mempersoalkan pakaian untuk program yang sama turut disalah tafsir hingga ada yang beranggapan kononnya Lofa sudah besar kepala.
Kisah cintanya dengan aktor juga pengarah dan penerbit, Hans Isaac sudah menjadi bualan harian dan terbaru, mereka dikatakan bercuti bersama di Koh Sa Mui, Thailand namun dinafikan kedua-duanya.
Isu seksi di ABPBH, pembedahan hilangkan parut di dahi, kisah kelakar betisnya juga diambil serius dan terbaru, konflik dengan seorang pereka fesyen yang mendakwa serik bekerja dengannya menambah lagi ‘panas’ pada nama Lofa.
Pencapaian Lofa
Rangkaian perniagaan milik keluarganya, Bella Vita makin maju apabila Lofa mengesahkan ingin menambah cawangannya tidak lama lagi.
Selain menjadi jurucakap Avon dan King Koil, Lofa turut terpilih menjadi wajah rasmi jenama jam U2.
2012 turut menyaksikan wajahnya mewarnai banyak papan iklan di sekitar pantai timur apabila menjadi wajah rasmi siri jelajah Petronas.
Gadis yang peramah dan rendah diri ini menerima pula tawaran Tune Records milik AirAsia untuk menjadi penyanyi di bawah naungan mereka pula.
Pernah membintangi drama Kasih Najihah, Kitab Cinta, Jiwa dan Lara, Lofa turut akan tampil dalam beberapa projek khas dan filem pada 2013 termasuk Lemak Kampung Santan.
Kontraknya bersama program Nona disambung setahun lagi dan kini wajahnya pula muncul di Astro dengan mengendalikan program gosip hiburan, MeleTOP.
Tahun ini Lofa akan mengikat dua lagi kontrak dengan produk antarabangsa, beberapa filem dan drama siri, namun semuanya masih dalam perbincangan.
0 comments:
Post a Comment